Friday, October 21, 2011

terhenti di sini???

selepas habis ja kursus sosiolinguistik blog dah tak "update"...insyaALLAH kalau ada kesempatan dan mood yang baik blog ini akan ter"update"... ^_____^

Thursday, March 17, 2011

Kemasukan atau Masuk?

Situasi 40:

Semasa di dalam kelas, ada seorang pelajar lelaki yang sedang mengedarkan 'flyers' kepada semua rakan sekelas. Ketika mendapat edaran tersebut, aku membaca apa yang ditulis di atas kertas edaran itu. Aku dapat mengenal pasti satu kesalahan yang sangat ketara, iaitu, perkataan masuk dieja sebagai kemasukan. Di sini, aku lampirkan edaran tersebut.




Ulasan:

Berdasarkan kesalahan yang dapat aku kesan, aku menasihati diri aku sendiri supaya lebih peka tentang penggunaan kata dan ejaan ketika menulis atau menaip sesuatu. Sebagai seorang pelajar, aku merasakan perlu bagi aku dan rakan-rakan membaca dan mengenal pasti jika berlaku kesalahan sebelum mencetak. Hal ini terutamanya ketika menyiapkan tugasan. Kesilapan semasa mengeja atau membuat ayat pasti akan memberikan kesan yang buruk terhadap markah yang akan diberi oleh pensyarah. Oleh yang demikian, aku berulang-kali berpesan kepada diri agar tidak mengulangi kesilapan yang serupa. Sebelum mencetak tugasan atau kerja-kerja yang diberikan, aku harus mengenal pasti jika terdapat kesalahan yang dilakukan sama ada sengaja atau tida sengaja. Ini merupakan masukkan yang terakhir ke dalam blog Sosiolinguistik, jadi selepas ini aku akan membaca semula keseluruhan situasi bagi mengenal pasti jika berlakunya kesilapan.Sekian... =)

Bahasa Penghantar atau Bahasa Pengantar?

Situasi 39:

Selepas sebuah pembentangan yang dijalankan oleh kumpulan empat, terdapat seorang individu yang bertanyakan soalan. Berdasarkan soalan yang diajukan, pelajar tersebut ingin mengetahui apakah ada perbezaan di antara bahasa pengantar dan bahasa penghantar. Kemudian, pensyarah menyuruh salah seorang pelajar supaya mencari maksud atau erti bagi bahasa pengantar atau bahasa penghantar di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu di laman web DBP. Setelah carian berjaya, maksud bahasa pengantar atau bahasa penghantar itu dipaparkan pada skrin putih. 



Ulasan:

Bahasa pengantar atau bahasa penghantar adalah merujuk kepada maksud yang sama. Aku baharu sahaja mengetahui maklumat ini setelah menghadiri kelas tersebut. Aku sangat berterima kasih kepada individu yang bertanyakan soalan itu. Hal ini demikian kerana, aku dan rakan-rakan sudah mendapat pengetahuan baharu pada hari tersebut. Kami pasti tidak akan ragu-ragu untuk menjawab soalan seperti itu jika ada orang bertanya. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada yang bertanyakan soalan itu. =)

Wednesday, March 16, 2011

Suara itu lagi...

Situasi 38:

Situasi ini turut berlaku di dalam "bas kitaran". Kejadian ini merupakan kesinambungan terhadap peristiwa yang terjadi pada situasi 37. Ketika aku masih berdiri dan terdapat beberapa orang pelajar yang ingin naik bas tersebut walaupun keadaan di dalam bas tersebut seperti 'tin sardin' , ada seorang pelajar lelaki yang berkata;

Pelajar Lelaki : Ke belakang lah sikit. Orang lain pun nak naik juga. Kami pun bayar yuran kemudahan juga.
Ramai pelajar yang tertawa dan terdapat sebilangan pelajar yang mencebik kerana tidak suka dengan kata-kata pelajar tersebut. Kemudian, setelah lama menunggu dan bas masih lagi belum bergerak, pelajar lelaki tersebut akhirnya turun untuk menunggu bas yang berikutnya. Mungkin kerana sudah penat menunggu sambil berdiri. Selepas itu, aku terdengar suara pelajar perempuan pada situasi 37 itu mengeluh dan marah-marah;

Pelajar Z : Tadi nak naik sangat. Kenapa yang turun. Bukan ke dia dah bayar yuran kemudahan. Menyampah.



Ulasan:

Aku tidak pasti adakah pelajar perempuan tersebut sedar akan hakikat bahawa orang lain juga menyampah dengan sikapnya. Aku tidak pasti kenapa dia terus bersikap demikian. Adakah dia kurang didikan atau dia kurang sifat penyabar? Jika dia berterusan dengan sikap biadabnya itu, pasti suatu masa nanti dia akan mendapat balasannya. Sebagai seorang pelajar dan kita sama-sama membayar yuran untuk menggunakan kemudahan yang terdapat di UPSI, kita seharusnya sedar bahawa bukan kita seorang sahaja yang berada di sini. Terdapat ramai lagi pelajar lain yang turut membayar yuran dan ingin menggunakan kemudahan yang sama seperti kita gunakan. Jadi, sikap bertolak-ansur dan hormat-menghormati penting kerana kita berkongsi segala kemudahan di sini. Jika dia tidak ada sikap demikian, dia harus berfikir sama ada dia harus menggunakan kenderaan sendiri atau berjalan kaki sahaja ke kuliah. Pasti dia tidak perlu berebut-rebut untuk menaiki bas kitaran yang disediakan. Sekian.... =)

Aku terhegeh-hegeh?

Situasi 37:

Situasi ini berlaku pada pagi tadi ketika aku berada di dalam "bas kitaran" UPSI. Pada mulanya aku dan rakan berdiri di hadapan pintu bas kerana menunggu lagi seorang rakan kami. Kami menyuruh pelajar yang berada di situ untuk naik. Selepas itu, ketika sedang bersesak-sesak di dalam bas kerana pada waktu itu memang terdapat ramai pelajar lain, aku terdengar satu suara perempuan yang berkata-kata;

Pelajar Z : Tadi tak nak naik. Sekarang terhegeh-hegeh naik pulak. Mengada-ngada.



Ulasan:

Apakah reaksi anda jika berada di tempat aku? Aku tidak tahu mengapa pelajar tersebut berkata demikian. Bukannya dia tidak biasa berada dalam keadaan tersebut. Aku rasa situasi tersebut adalah salah satu lumrah sebagai pelajar UPSI. Jika mana-mana pelajar belum pernah melalui hal tersebut aku merasakan kurang yakin bahawa dia adalah pelajar UPSI kerana situasi tersebut telah aku tempuhi sejak semester satu lagi. Pada pendapat aku, jika dia kurang berpuas hati, adalah lebih baik jika dia berkata terus kepada aku dan rakan-rakan. Tidak perlulah dia menyatakan perasaan tidak puas hatinya kepada rakannya. Sebagai seorang yang terpelajar (kerana berada di UPSI). Aku rasa, dia perlu untuk belajar menghormati orang lain. Aku yakin dia adalah pelajar semester empat. Jadi, oleh kerana dia akan berada di UPSI untuk satu jangka masa yang panjang, aku berharap agar dia mengubah sikapnya agar lebih menghormati orang lain dan tidak meluahkan rasa kurang senangnya secara sinis, adalah lebih baik jika berterus-terang. Tidak mungkin aku akan bersikap biadab jika dia menegur dengan cara yang berhemah. 

Mi Sedaap

Situasi 36:

Ketika sedang mencari idea untuk dimasukkan ke dalam blog, aku terlihat plastik mi segera yang terdapat di atas kabinet dapur rumah aku. Dari situ timbulnya idea untuk aku meletakkan situasi ini ke dalam blog aku.






Ulasan:

Apakah rasional ejaan 'sedaap' tersebut? Adakah jika dieja dengan ejaan sedap, mi tersebut akan kurang rasa sedapnya? Walaupun mi tersebut keluaran syarikat Indonesia, tetapi seharusnya ejaannya dieja dengan baik kerana Indonesia sendiri pun menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangasaan mereka. Jadi, wajar bagi pihak pengeluar mi segera ini menggunakan bahasa Melayu dengan baik agar usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu dapat dijalankan dengan sempurna. 

Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata...

Situasi 35:

Ketika berada di sebuah mesyuarat pada minggu lalu, aku terdengar satu ayat yang kurang menyenangkan hatiku sebagai seorang manusia. Kejadian tersebut berlaku semasa sesi memperkenalkan diri oleh pelajar-pelajar. Ayatnya berbunyi begini;

Pelajar A : Nama saya AAAAAA. Saya semester dua.
Pelajar X : (Menyampuk)...Ai, kamu semester dua? Lagi besar dari semester empat?

Pelajar A hanya tersenyum lalu duduk.







Ulasan:

Kata-kata pelajar X kedengaran terlalu kurang sopan kerana dia bertindak menyampuk percakapan pelajar terbabit dan menuturkan sedemikian terhadap pelajar itu. Bagi aku, dia seharusnya menjaga etika semasa bermesyuarat dan semasa sesi memperkenalkan diri. Dia tidak berhak mencemuh atau berkata sedemikian kepada pelajar itu. Perbuatan itu pasti akan mengguris perasaan orang lain. Dia juga harus sedar akan dirinya sebelum berkata sedemikian. Aku rasa dia juga bukanlah seorang yang kurus. Jadi, bagaimana perasaanya jika ada orang lain yang berkata demikian kepada dia? Pasti dia akan merasai apa yang dirasakan oleh pelajar terbabit. Aku berharap semoga dia sedar akan sikapnya yang telah mengguris perasaan orang, bukanlah sekali dua. Tetapi sering kali berlaku.